Tuesday, 8 July 2014

Bahana Makanan Haram

"Wahai manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang nyata bagi kamu" (Surah Al-Baqarah 2:168)

Daripada ayat di atas dapat kita fahami perintah Allah agar kita memakan makanan yang halal lagi baik, dan meninggalkan makanan yang haram. Kenapa???. Sekiranya manusia melakukan perkara yang sebaliknya, maka dia telah mengikut telunjuk syaitan.



Ingat.... sejarah penipuan iblis terhadap manusia adalah melalui makanan. Ini di mana Nabi Adam a.s dan Siti Hawa berjaya ditipu dengan cara mendorong keduanya untuk memakan buah Khuldi. Akibatnya kedua mereka telah dikeluarkan dari syurga.

Sejarah tidak terhenti di situ. Ianya sentiasa berulang dan berulang. Syaitan sentiasa berusaha memanipulasinya untuk menyesat dan membuat manusia menderhaka kepada yang Maha Kuasa. Manusia dengan pengaruh syaitan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan makanan.

Ada yang sanggup mencuri, menipu dan menerima rasuah demi untuk mengisi perut. Sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengambil peduli tentang halal atau haram asalkan mendapat habuan demi mengisi perut. Perut melambangkan nafsu seseorang. Manusia yang melayan kehendak perutnya bermakna melayan kehendak nafsunya. Akhirnya ia menjadi punca pengerak ke arah kejahatan.

Kamu Ialah Apa Yang Kamu Makan

Pesan Imam Al-Ghazali: 
" Jika kita ingin anak-anak menjadi soleh,bijaksana,berguna, berilah dia makan daripada rezeki yang halal sejak mereka dilahirkan. Makanan yang halal selain daripada menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka terhadap kita jika diberi makanan yang kotor."




Kamu ialah apa yang kamu makan. Dalam islam, makanan yang kita makan akan membentuk hati dan menjadi darah daging. Hati akan menjadi baik sekiranya makanan yang di makan adalah halal dan baik. Dan menjadi sebaliknya sekiranya makan makanan yang haram.

Makanan yang haram akan menjadikan hati gelap. Ini membawa maksud hati yang susah atau tidak langsung mendapat hidayah Allah. Hati yang suka melakukan kejahatan. Padanya yang jahat itu baik dan yang baik itu tidak menyeronok baginya. Ia mudah berasa bosan dan jemu sekiranya disaran berbuat kebaikan. Malah boleh memberontak dan memudaratkan orang lain.

Oleh itu berhati-hatilah dengan apa yang bakal kita makan. Ia menjadi penentu baik buruk hidup kita dan anak-anak di dunia dan kecemerlangan kita di akhirat.

Hati Rosak Fikiran Juga Rosak.

Fikiran juga dipengaruhi oleh makanan. Makanan boleh menajamkan fikiran. Ini berlaku sekiranya kita menjaga tabiat pemakanan kita. Tabiat memakan makanan yang seimbang seperti mengandungi karbihidrat,protin, lemak, air, mineral, serat dan vitamin akan meningkatkan tahap pemikiran kita. Pemikiran juga menghala ke arah perkara yang baik.

Imam Al-Ghazali menukilkan dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin bahawa Rasulullah SAW bersabda: " Sesiapa memakan yang halal selama 40 hari, nescaya Allah akan menerangi hatinya dan mengalirkan kearifan hati melalui lidahnya." (Riwayar Abu Nu'aim dalam al-Hilyah)

Walaubagaimanapun, sekiranya fikiran disajikan dengan makanan yang seimbang dan berkualiti tetapi dari sumber yang haram akan melahirkan individu yang bijak tetapi penuh dengan idea yang jahat.

Fikiran yang jahat akan penuh dengan idea yang jahat. Penuh dengan perancangan yang kotor dan maksiat. Apabila diajak berbuat perkara baik idea jahatnya akan memberikan pelbagai alasan untuk menolak.

Makanan Yang Halal Sumbernya Haram

Kebanyakan umat Islam tidak akan menggunakan makanan yang  haram seperti khinzir dan juga alkohol. Makanan dalam kategori ini jelas haramya. Mereka akan menolaknya dengan tegas. Contohnya dalam kes coklat jenama Cadbury yang dikatakan bercampur dengan unsur khinzir.

Tetapi ramai umat Islam terperangkap dan tertipu. Sedar atau tidak sedar mereka membawa pulang makanan yang halal tetapi haram untuk keluarga mereka.

Bagaimanakah Ianya berlaku???

Mereka berniaga tetapi kadang-kadang tidak jujur dan menipu.

Mereka makan gaji tetapi suka curi tulang. Datang lewat pulang awal. Tugasan utama tidak diutamakan tetapi tugasan lain menambil tempat.
Contohnya guru; waktu mengajar digunakan untuk membuat kerja lain seperti bersembang atau melayan pelbagai laman sosial seperti  facebook, tweeter dan sebagainya.

Mereka mengambil rasuah dan menzalimi hak orang lain contohnya penguatkuasa seperti polis dan kastam.

Akibatnya wang yang diperoleh dengan cara kerja yang pada asalnya halal menjadi haram. Akhirnya wang ini digunakan untuk membeli makanan ahli keluarga. Sedar atau tidak seluruh keluarga menggunakan makanan yang haram sehingga bertahun-tahun.

Ingat..... Makanan yang haram akan menggelapkan hati, mengotorkan fikiran dan menjauhkan ketaatan kepada Allah.

Bahananya kita akan merana di dunia dan sengsara di akhirat.

Oleh itu marilah kita semua meninggalkan makanan yang haram. Meninggalkan yang haram juga satu ibadah yang sangat dituntut.

Rujukan: 

" Pesan Hati Untuk Hati" tulisan Pahrol Mohamad Juoi

"Doa & Tip Keluarga Bahagia" tulisan Norlela Ibrahim








No comments:

Post a Comment