Wednesday, 22 January 2014

Mentaliti Suka Makan Gaji


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata,perubahan bersifat anjakan paradigma perlu dilakukan dalam kalangan belia bumiputera agar mereka bergerak maju ke hadapan.

Ini berkaitan dengan masalah mentaliti muda mudi kita sekarang yang  kebanyakannya hanya sekadar mahu bekerja dengan kerajaan atau makan gaji.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Siri Jelajah sempena Kongres Usahawan Muda Bumiputera anjuran Generasi Muda Berjaya Malaysia dengan kerjasama Kementerian Antarabangsa dan Industri di Kota Bharu semalam. (21 Januari 2014)



Ya, sesungguhnya mentaliti makan gaji ini sudah menjadi satu kemestian bagi kita orang melayu terutama bekerja di sektor perkhidmatan awam.

Kenapa perkara sebegini terjadi?

Sebenarnya kebanyakan daripada kita telah dilatih daripada awal lagi supaya belajar  rajin-rajin untuk mendapatkan pendidikan yang baik dan berkesudahan mendapat pekerjaan yang baik. Bila mana kita memperkatakan tentang kerja yang baik, sudah pastilah kerja makan gaji yang kita hasratkan. Kenapa? sebab ianya memberikan pendapatan yang tetap dan lumayan mengikut sijil atau ijazah yang kita ada. Tiap-tiap hujung bulan gaji tetap ada.

Secara tidak sedar juga kita telah menghadkan kebolehan dan keupayaan kita untuk mendapatkan imbuhan yang lebih dengan terhenti mengikut tahap sijil yang kita ada. "....... kelulusan aku hanya STPM sahaja. Oleh itu gaji aku hanya RMxxx dan tidak lebih dari itu...". Mungkin ini yang kita fikirkan.

Begitu juga dengan kehidupan seharian kita. Mungkin kita berfikir bahawa kita hanya mampu memiliki sesuatu berdasarkan jumlah gaji yang diterima  akibat dari kelulusan yang kita ada.

Pada saya, jika ini tanggapan kita, maka ianya satu pegangan yang amat mendukacitakan. Pemikiran ini  akan menjadi kita lemah dan tidak mampu lagi untuk bergerak laju ke hadapan.

Oleh itu, sekiranya kita ingin memegang wang yang lebih banyak, cara pemikiran sebegini perlu diubah. Nilai diri kita tidak sepatutnya berpandukan sijil atau ijazah yang dipegang. Sijil hanya satu alat nak menunjukkan keupayaan kita boleh belajar dan bukannya nilai wang yang patut kita terima.

Saya amat bersetuju dengan saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed supaya para belia melayu mengubah mentaliti makan gaji kepada menjadi seorang usahawan yang berjaya.



Kepada yang dah terlanjur makan gaji pula, janganlah terikat punca kewangan anda hanya pada gaji semata-mata. Banyak kerja-kerja "part time" yang boleh dilakukan bagi mempertingkatkan taraf kehidupan kita.

Galakkan anak-anak atau sesiapa sahaja yang berkaitan dengan kita supaya cenderung untuk menjadi usahawan. Ingatlah, keadaan kita hari ini secara tidak langsung adalah hasil didikan generasi yang terdahulu. Jangan ulangi kesilapan lalu.

Bermula hari ini, marilah kita sama-sama mengubah mentaliti kita dan orang disekeliling kita supaya meminati bidang perniagaan. Berniagalah apa sahaja asalkan dengan ilmu dan etika yang betul. Kita sama-sama berusaha untuk membina bangsa yang terkenal dengan budaya usahawannya dan bukan bangsa yang hanya suka makan gaji.
 



No comments:

Post a Comment